Nak jadi apa la aku ni

Alhamdulillah segala syukur dapat dipanjatkan kepada Rabul Izzati yang telah memberikan sesuatu nikmat dalam keadaan sedar ataupun tidak. Selawat dan juga salam kita panjatkan kepada nabi kita Muhammad SAW. Dalam kesibukkan peperiksaan yang bakal menjelang pada 16hb januari ini ana rasakan diri ini betul-betul berharapkan kepada ilmu dan ana rasakan rupa-rupanya belum cukup lagi ilmu yang kita tuntut. Walaupun kita pandai berpidato dan pandai berhujah tapi kita kena ingat bukan setiap pidato kita dan hujah itu betul. Malah yang paling ana takuti ialah orang yang diberikan Allah suatu kelebihan dalam berpidato dan berhujah akan pandai mengeluarkan kata-kata manis dan mengeluarkan fakta yang tepat tapi mereka inilah yang tidak dapat melakukan apa yang mereka kata. Bak kata orang kampung "cakap pandai buat apa pun dak" malah ingatan keras daripada Allah didalam surah Assof dapat kita fahaminya.Bukankah telah diceritakan oleh Nabi SAW semasa nabi di isra dan dimikrajkan: "aku lihat satu golongan yang memotong lidah-lidah mereka, kemudian lidah itu jadibaik semula kemudian dipotong semula lidah-lidah mereka", lalu aku tanya kepada jibril siapakah mereka lalu dijawab oleh jibril as : "mereka ini lah orang yang pandai berkata-kata tapi tak pernah melakukan apa yang dikatakan". NAUZUBILLAHIMINZALIK.
Dalam diam rupanya diri ini sudah hanyut jauh di dalam gelombang kehidupan yang banyak mehnah dan tribulasi. Jangan kita kata orang yang tidak berilmu akan selalunya tidak dapat melawan arus kehidupan yang mengajar kepada kelalaian namun kebanyakkan yang ana lihat sekarang orang yang berilmu juga sudah terjebak dalam keseronokkan duniawi ini. Tak perlulah kita menunding jari kepada sesiapa, cuba kita analisa diri kita ini yang ada sedikit agama yang ada sedikit ilmu pengetahuan, yang lebih banyak kita kejar dunia ataupun akhirat?
Banyak manakah air mata yang telah mengalir di wajah kita untuk mencari keredoaan Allah dan mencari keampunan Allah? Banyak manakah waktu jaga kita untuk melakukan ibadat kepada Allah? Banyak manakah kalimah yang keluar dari mulut kita yang memuji Allah? Persoalan yang perlu ada jawapannya.
Ana teringat akan kata-kata guru ana semasa di sekolah dahulu: sebenarnya kita ni hipokrik dalam beribadah kepada Allah. ana tanya kenapa? lalu dihurailah oleh guru ana: Jika tiada peperiksaan malam kita tak bangun. Kita sanggup berjaga malam pukul 2 hingga 4 pagi untuk membaca buku tapi bila habis fatrah peperiksaan malam umpama waktu rehat sesudah ku habiskan masa semasa fatrah peperiksaan. Dalam peperiksaan kita tadah tangan dan kita alirkan air mata namun sesudah selesai peperiksaan tangan ditadah tanpa ikhlas, air mata sudah kehabisan untuk di alirkan. Malah kita peruntukkan masa yang begitu banyak untuk dunia. Kadang-kadang ana terfikir adakah aku ni nampak Allah semasa imtihan saja? pas abis imtihan kemana semua yang ku lakukan semasa imtihan, malam yang ku isi dengan tahajjud,malam yang ku isi dengan tangisan air mata, malam yang ku isi dengan alunan merdu Al-Quran. Kemana semua itu pergi? adakah kita akan bertemu dengan semua itu bila tibanya imtihan kembali? Inilah soalan yang bermain difikiran ku, yang menyebabkan ana menekan kekunci huruf-huruf pada pagi yang dingin ini.
Sekarang waktunya sambil kita membaca kita fikirlah adakah kita seperti apa yang ana gambarkan,bukanlah ana ingin tujukan kepada sesiapa namun itulah hakikatnya yang perlu kita akui sekarang. Mungkin kita sekarang sedang berkalwat seorang diri untuk mentelaah kitab-kitab bagi peperiksaan yang akan datang dan ada yang bersama kawan-kawan untuk mengulangkaji. Apa-apa pun sebelum terlambat ana nak ucapkan selamat mengulangkaji pelajaran.
Ingatlah hidup ini hanyalah lakonan d pentas dunia,yang mestilah berlandaskan skrip dari Al-Quran dan As-Sunnah nabi, yang sedang dirakam oleh dua orang malaikat Raqib dan Atib, dan akan di adili lakonan kita ini d mahkamah Allah kelak jika baik lakonan kita ini trofi syurga yang bakal kita kecapi dan jika buruk lakonan kita ini trofi neraka yang bakal kita tatapi. Dan ingatlah pelakon yang paling baik sekali adalah Nabi Muhammad SAW. Oleh itu, marilah kita ikut jejak langkah Nabi kita untuk mencapai kebahagian di dunia dan juga akhirat dan tidak akan pernah rugi walaupun sedikit.
Dalam coretan ana yang ringkas ini ingin sekali ana ucapkan kepada sahabat-sahabat SELAMAT MAJU JAYA DALAM IMTIHAN YANG AKAN DATANG dan SELAMAT STUDY buat semua. Doa-doa la kat ana sama bagi najah tahun ni.... AMIN YA ROBB. serta kesempatan ini ana ingin mohon maaf kepada sesiapa yang pernah ana kasari ataupun pernah hatinya terasa dari perbuatan ana sama ada secara langsung atau tidak. Maaf-maaf la ana ni.... Bak kata lagu P RAMLEE maaf kan kami... Ana akhiri coretan ini dengan GOOD LUCK buat semua kawan-kawan... AMIN.. Wassalam.

Alhamdulillah,dapat kita panjatkan kepada Allah tuhan kepada pencipta..emmm ni ana nk bg satu cerita yang telah ana copy... jadinya sama2 la kita minum... hihihi

SUATU malam ketika aku sedang nyenyak tidur tiba-tiba aku melihat seolah-olah ayahanda menjelma di hadapanku. Perasaan kasih pada ayahanda tidak dapat ditahan-tahankan lagi, lalu aku berteriak: "Ayah... sudah lama tiada berita dari langit sejak ayahanda tiada!"
Waktu itu aku terlalu rindu setelah beberapa hari ayahanda wafat. Ketika aku sedang memanggil-manggil ayahanda, muncul pula para malaikat bersaf-saf lantas menarik tanganku, membawa aku naik ke langit.

Apabila aku mendongak temampaklah istana-istana indah yang dikelilingi taman-taman pawana serta anak-anak sungai mengalir saujana mata memandang.
Keindahan istana demi istana dan taman demi taman berjajaran di hadapan mata begitu mengasyikkan. Dari celahan pintu-pintu istana tersebut menjelmalah para bidadari seolah-olah patung bernyawa yang sangat jelita, sentiasa tersenyum dan bergelak ketawa. Bidadari itu berkata kepadaku: "Selamat datang wahai makhluk yang diciptakan syurga untuknya, dan kerana ayahanda kamu, kami diciptakan..."
Malaikat itu terus membawa aku naik ke langit seterusnya sehingga memasuki sebuah tempat yang dipenuhi istana-istana yang lebih indah daripada sebelumnya. Cahayanya bergemerlapan.
Dalam setiap istana itu terdapat rumah-rumah berisi pelbagai perhiasan indah yang belum pernah dilihat mata, tidak terdengar di telinga dan tidak pernah tersirat di hati. Penghuni istana-istana ini sentiasa bergembira, bergelak ketawa dan ceria. Di istana itu terdapat pelbagai kain sutera nipis dan tebal. Juga terdapat selimut-selimut daripada sutera dengan pelbagai warna dan corak.
Di atas rak-rak kelihatan pelbagai jenis gelas diperbuat daripada emas dan perak yang sungguh menawan. Pelbagai jenis hidangan makanan, buah-buahan serta air minuman yang lazat dan enak tersedia untuk dimakan. Pemandangan di taman-taman pula sungguh memukau dengan aliran sungai yang warnanya lebih putih daripada susu, rasanya lebih manis daripada madu dan baunya lebih semerbak daripada kesturi.
Aku yang kehairanan dan takjub lantas bertanya: "Untuk siapakah tempat-tempat indah sebegini dicipta? Apa nama sungai-sungai yang harum mewangi ini?"
Malaikat-malaikat itu menjawab:
"Tempat ini adalah Firdaus, tempat paling tinggi dan tiada lagi syurga di atasnya. Syurga Firdaus ini khas untuk singgahsana ayahandamu, semua rasul, nabi, para syuhada dan syiddiqun yang dicintai Allah. Sungai ini bernama al-Kautsar yang telah Allah janjikan kepada ayahandamu."
Aku bertanya lagi: "Di mana ayahandaku?"
Malaikat-malaikat menjawab: "Sebentar lagi ayahandamu akan datang menjemputmu!"
Tidak lama kemudian aku ternampak istana-istana yang sangat putih dan permaidani yang tersangat indah. Tiba-tiba aku sudah berada di atas permaidani yang terbentang di atas singgahsana. Aku ternampak ayahandaku sedang berehat di atas singgahsana tersebut dikelilingi sekelompok orang yang tidak dikenali. Ayahanda menarik tanganku dan mencium dahiku berkali-kali.
Ayahanda berkata: "Selamat datang wahai puteriku!"
Lalu ayahanda meletakkan aku di atas pangkuannya dan berkata lagi:
"Wahai puteriku, tidakkah engkau lihat apa yang telah dijanjikan Allah kepadamu dan yang akan engkau perolehi?"
Ayahanda menunjukkan istana-istana yang disaluti bermacam-macam hiasan yang indah menawan serta berkilau-kilauan, saujana mata memandang. Ayahanda berkata: "Inilah tempat tinggalmu, kediaman suamimu, kedua-dua anakmu serta orang-orang yang mencintaimu dan mencintai mereka. Bergembiralah... engkau akan mengikut ayahanda datang ke sini beberapa hari lagi..."
Aku berkata: "Kalau begitu senanglah hatiku dan bertambah rindu pada ayahanda."
Selepas berjumpa beberapa ketika dengan ayahanda, aku terjaga. Tubuhku menggigil dan terasa takut yang amat sangat. Aku masih teringat-ingat bisikan ayahanda. Aku akan mengikut langkah ayahanda beberapa hari lagi. Aku masih ingat ayahanda berkata perkara yang sama sebelum wafat. Ayahanda pernah membisikkan bahawa akulah orang pertama yang menyahut panggilan Ilahi selepasnya.
Sejak hari ayahanda wafat lagi aku selalu menangis dan bersedih. Perasaan sedih makin terasa selepas bermimpi bertemu ayahanda. Aku tahu tidak lama
lagi aku akan meninggalkan dunia fana ini untuk bersama ayahanda tercinta di akhirat yang kekal, aman dan sentosa.
Aku menceritakan mimpi tersebut pada suamiku dan juga pembantuku Asma binti Umays. Aku beritahu saat ajal hampir tiba. Asma menunjukkan pelepah kurma basah untuk membuat usungan seperti yang dilihat dibuat di Habshah.
Aku tersenyum apabila melihat keranda itu. Aku berwasiat supaya jenazahku nanti dikebumikan pada malam hari agar tiada seorang pun yang marah apabila melihat jenazahku. Aku juga meminta suamiku supaya menikahi Umamah, saudara perempuanku. Umamah menyayangi anakku seperti aku menyayangi mereka.
Setelah merasa saat ajal hampir tiba aku membawa dua orang anakku menziarah makam ayahanda. Tubuhku terasa sangat lemah untuk memijak. Tapi aku gagahi juga untuk bersembahyang dua rakaat antara mimbar dan makam ayahanda.
Tidak lama lagi jasadku akan berpisah dengan roh. Aku akan meninggalkan dua puteraku. Lalu aku peluk dan cium kedua-duanya bertubi-tubi. Sayang, ibumu terpaksa pergi dulu...
Selamat tinggal sayangku, puteraku dan suami tercinta. Biarlah aku menghadap Ilahi tanpa tangisan sesiapa. Aku tidak sanggup melihat tangisan puteraku dan suamiku. Biarlah mereka berada di sisi makam ayahanda dan suamiku bersembahyang. Kalau boleh aku mahu tinggalkan dunia ini dalam bersujud pada Ilahi.
Aku terus meninggalkan dua puteraku dan membiarkan suamiku bersembahyang di masjid. Aku mengambil ramuan hanuth, sejenis pengawet mayat yang ayahandaku biasa gunakan. Aku siramkan air ramuan itu ke seluruh tubuhku. Kemudian aku memakai kain sisa kapan ayahandaku. Selepas itu sekali lagi aku memanggil Asma binti Umays yang sentiasa mengurus dan merawatku.
Pada Asma aku berpesan, "Wahai Asma, perhatikanlah aku. Sekarang aku hendak masuk ke rumah membaringkan tubuhku sekejap. Jika aku tidak keluar, panggillah aku tiga kali dan aku akan menjawab panggilanmu. Tetapi jika aku tidak menjawab, ketahuilah aku telah mengikut jejak langkah ayahandaku!"

Setelah sejam berlalu, Asma memanggil-manggil nama wanita itu tetapi tiada sebarang jawapan. Ketika penjaga itu masuk, dia terkejut apabila melihat wanita kurus cengkung itu meninggal dunia dalam sujudnya. Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun...

***********
Aku dalam cerita di atas ialah Fatimah az-Zahra, anak Rasulullah dengan isteri pertamanya Siti Khadijah. Fatimah meninggal dunia dalam usia 28 tahun setelah 40 hari Rasulullah s,a.w. wafat dan jenazahnya dimakamkan di perkuburan Baqi' di Madinah. Masih adakah wanita solehah seperti Fatimah di zaman moden ini?

;;

 
 
 

Followers